Sunday, February 3, 2013

PENGANUGERAHAN PINGAT PERKHIDMATAN CEMERLANG DAN PEMBERIAN ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG

PEKELILING PERKHIDMATAN BILANGAN 13 TAHUN 2012

Surat Arahan Ketua Pengarah MAMPU
Pemansuhan : PKPA Bil. 2 Tahun 2002 - Garis Panduan Pemberian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Anggota Perkhidmatan Awam

Pelaksanaan Program Transformasi Minda (PTM) sebagai satu daripada syarat pengesahan dalam perkhidmatan bagi menggantikan Kursus Induksi

PEKELILING PERKHIDMATAN BILANGAN 14 TAHUN 2012

LATAR BELAKANG

2. Modal insan yang berdaya tahan dan kompetitif adalah pra-syarat penting bagi menggerakkan agenda transformasi Kerajaan dengan berkesan untuk mencapai agenda pembangunan negara. Justeru, modal insan sektor awam perlu dibangunkan di peringkat awal pelantikan (dalam tempoh percubaan) secara optimum agar dapat melahirkan pegawai awam yang mempunyai sikap dan pemikiran progresif yang inginkan kecemerlangan serta memiliki etika dan nilai yang sejajar dengan budaya negara.

3. Cabaran utama membangunkan modal insan ialah menyediakan latihan yang mampu mentransformasikan minda pegawai awam untuk menjajarkan perlakuan mereka dengan matlamat sebenar perkhidmatan awam dan ekspektasi rakyat agar selari dengan hala tuju negara dan perubahan persekitaran. Perubahan minda yang ingin diterapkan sewajarnya menggalakkan pemikiran yang selari dengan aspirasi negara bagi menghasilkan nilai tambah dalam tugasan dan berkeupayaan menyediakan pegawai awam yang membudayakan nilai-nilai murni perkhidmatan awam.

4. Proses transformasi minda perlu bagi membangunkan modal insan secara holistik, merangkumi keupayaan sahsiah dan intelektual yang mesti dimiliki oleh pegawai awam bagi memandu pemikiran dan perlakuan dalam rutin harian. PTM diperkenalkan sebagai satu pendekatan untuk memberi pendedahan dan penyesuaian minda pegawai di peringkat awal pelantikan dalam perkhidmatan awam.

OBJEKTIF

5. Objektif PTM adalah untuk:
(a) memberi pendedahan kepada pegawai mengenai konsep kenegaraan, prinsip dan falsafah pembentukan negara, sistem pentadbiran kerajaan serta peraturan-peraturan asas perkhidmatan awam;
(b) memupuk keperibadian, jati diri dan nilai patriotisme pegawai supaya lebih berketerampilan dan berkemampuan menyesuaikan diri dalam perkhidmatan awam;
(c) menerapkan nilai budaya kerja cemerlang agar pegawai dapat memberikan penyampaian perkhidmatan dengan cekap serta berkesan; dan
(d) menyediakan pegawai dengan minda kelas pertama selaras dengan matlamat ke arah negara maju.

PEGAWAI YANG DISYARATKAN

6. Pegawai yang disyaratkan mengikuti PTM adalah:
(a) pegawai lantikan pertama pada atau selepas 1 Januari 2013 yang berkhidmat secara tetap dalam Perkhidmatan Awam; dan
(b) pegawai dalam tempoh percubaan dan belum menghadiri Kursus Induksi - Modul Umum.

PENGECUALIAN MENGHADIRI PTM

7. Pegawai yang sedang berkhidmat yang kemudiannya dilantik ke skim perkhidmatan atau perkhidmatan lain dikecualikan daripada menghadiri PTM dengan syarat:
(a) hadir dengan jaya PTM; atau
(b) hadir dengan jaya Kursus Induksi - Modul Umum; atau
(c) lulus Peperiksaan Am Kerajaan di skim perkhidmatan terdahulu.

8. Pengecualian ini boleh diberikan oleh Pengurus Sumber Manusia Kementerian/Jabatan/Agensi tanpa perlu merujuk kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Pengecualian tersebut hendaklah direkodkan dalam Rekod Perkhidmatan pegawai sebagai “Pegawai Dikecualikan Daripada PTM kerana telah Hadir Dengan Jaya PTM/Hadir Dengan Jaya Kursus Induksi-Modul Umum/lulus Peperiksaan Am Kerajaan” bagi memastikan urusan pengesahan dalam perkhidmatan barunya dibuat dengan teratur.

PELAKSANAAN PTM

9. Kerangka Kurikulum PTM ini terbahagi kepada tiga (3) segmen utama, iaitu:
(a) Segmen I : Negara dan Perkhidmatan Awam;
(b) Segmen II : Tanggungjawab dan Peranan Pegawai; dan
(c) Segmen III : Budaya Kerja Kelas Pertama.

Ringkasan kandungan kurikulum yang boleh diguna pakai adalah seperti di Lampiran A.

10. Pelaksanaan PTM adalah selama lima (5) hari dan dilaksanakan oleh Kementerian/Jabatan/Agensi. Contoh jadual pelaksanaan adalah seperti di Lampiran B. Pelaksanaan PTM ini boleh dibuat tanpa mengira kumpulan perkhidmatan/gred jawatan atau dibuat secara berasingan mengikut kesesuaian Kementerian/Jabatan/Agensi.

11. Skim perkhidmatan yang mensyaratkan Kursus Asas atau Pra-Perkhidmatan kepada pegawai lantikan baru boleh mengintegrasikan kurikulum PTM dalam Kursus Asas atau Pra-Perkhidmatan tersebut.

12. Kementerian/Jabatan/Agensi yang tidak mempunyai keupayaan untuk melaksanakan PTM atas sebab-sebab tertentu boleh menumpangkan pegawainya untuk menghadiri PTM di Kementerian/Jabatan/Agensi lain tertakluk kepada syarat-syarat berikut:
(a) urusan penumpangan dipersetujui oleh kedua-dua pihak yang menumpang dan menerima pegawai sebagai pegawai tumpangan;
(b) Sijil PTM yang dikeluarkan oleh Kementerian/Jabatan/Agensi yang melaksanakan program tersebut hendaklah diterima pakai bagi tujuan pengesahan dalam perkhidmatan; dan
(c) sekiranya Kementerian/Jabatan/Agensi yang menerima pegawai sebagai pegawai tumpangan mengenakan bayaran pengurusan, kadar yang dikenakan hendaklah munasabah dan dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

13. PTM dilaksanakan melalui pelbagai kaedah seperti latihan dalam kumpulan (LDK), sesi interaktif, perbincangan kumpulan, perbincangan kes, kuiz, e-Pembelajaran, ujian psikometrik atau kaedah lain yang bersesuaian yang dipersetujui oleh Panel Pengurusan PTM di Kementerian/Jabatan/Agensi masing-masing.

14. Penilaian PTM dibuat secara penilaian sepanjang program berdasarkan kepada aktiviti dan kriteria penilaian yang ditetapkan. Garis panduan penilaian PTM adalah seperti di Lampiran C.

15. Pegawai yang mengikuti PTM sepenuhnya dan berjaya berasaskan penilaian yang dibuat layak diberikan sijil PTM. Keputusan “Hadir Dengan Jaya PTM” hendaklah direkodkan dalam Rekod Perkhidmatan pegawai yang berkenaan. Contoh Sijil PTM adalah seperti di Lampiran D.

16. Memandangkan kurikulum PTM tidak merangkumi skop fungsi Kementerian/Jabatan/Agensi, Ketua Jabatan di mana pegawai ditempatkan adalah digalakkan untuk mengadakan sesi penerangan berasingan mengenai Kementerian/Jabatan/Agensi kepada pegawai berkenaan.

PANEL PENGURUSAN PTM

17. Semua Kementerian/Jabatan/Agensi yang melaksanakan PTM hendaklah menubuhkan Panel Pengurusan PTM di peringkat Kementerian/Jabatan/Agensi masing-masing.

18. Keanggotaan Panel Pengurusan PTM adalah seperti berikut:

Pengerusi
-
Pengurus Sumber Manusia/Pengurus yang bertanggungjawab mengendalikan latihan jabatan atau wakilnya
Ahli
-
Wakil-wakil yang berkaitan dan bersesuaian
Urus setia
-
Bahagian/Unit yang bertanggungjawab terhadap pengurusan sumber manusia atau latihan jabatan
Kuorum Panel Pengurusan PTM hendaklah sekurang-kurangnya tiga (3) orang termasuk Pengerusi.

19. Tanggungjawab Panel Pengurusan PTM adalah seperti berikut:
(a) menetapkan kaedah pelaksanaan program yang bersesuaian;
(b) menimbang dan mengesahkan laporan kehadiran dan laporan penilaian sepanjang program bagi setiap pegawai yang menghadiri PTM;
(c) menimbangkan kebenaran mengulang bagi pegawai yang tidak melengkapkan PTM tertakluk kepada tempoh percubaan pegawai;
(d) mengeluarkan dan memperakukan sijil kehadiran kepada pegawai yang telah hadir dengan jaya PTM; dan
(e) menimbangkan isu-isu berkaitan pelaksanaan PTM.

PEGAWAI YANG TIDAK MELENGKAPKAN PTM

20. Panel Pengurusan PTM boleh membenarkan pegawai mengulang semula mana-mana segmen sekiranya pegawai tersebut tidak melengkapkan PTM atas sebab-sebab berikut:
(a) disahkan tidak sihat oleh Pengamal Perubatan Berdaftar;
(b) terpaksa meninggalkan program untuk menjaga keluarga terdekatnya yang sakit;
(c) terpaksa meninggalkan program untuk menjadi saksi atau terlibat dalam perbicaraan kes di mahkamah;
(d) melahirkan anak dalam tempoh program;
(e) keluarga terdekat meninggal dunia; atau
(f) keadaan kecemasan lain yang difikirkan munasabah dan dibenarkan oleh Ketua Urus Setia yang melaksanakan PTM.

21. Pegawai yang tidak melengkapkan PTM hendaklah mengulang semula segmen yang belum dilengkapkan. Pegawai hendaklah mengemukakan permohonan kepada urus setia bagi tujuan mengulang semula segmen berkenaan.

PEGAWAI YANG GAGAL PTM

22. Pegawai yang gagal PTM disebabkan masalah disiplin dan komitmen tidak dibenarkan mengulang semula PTM dan boleh ditamatkan perkhidmatannya.

KAWALAN PIAWAIAN

23. JPA akan memantau dan mengadakan naziran dari semasa ke semasa bagi memastikan pelaksanaan PTM selaras dengan dasar yang berkuat kuasa.

PINDAAN KEPERLUAN KURSUS INDUKSI DALAM PERBEKALAN SKIM PERKHIDMATAN
24. Mulai 1 Januari 2013, semua perbekalan dalam skim perkhidmatan mengenai keperluan hadir dengan jaya Kursus Induksi sebagai syarat pengesahan dalam perkhidmatan adalah dipinda dan digantikan dengan PTM.

KEKECUALIAN

25. Semua Kementerian/Jabatan/Agensi hendaklah mematuhi pelaksanaan PTM yang ditetapkan. Sebarang pengubahsuaian dari segi tempoh, kurikulum dan penilaian PTM selain daripada yang ditetapkan hendaklah mendapat kelulusan daripada JPA.

TARIKH KUAT KUASA

26. Pekeliling Perkhidmatan ini berkuat kuasa mulai 1 Januari 2013.

PEMAKAIAN

27. Tertakluk kepada penerimaan oleh pihak berkuasa masing-masing, peruntukan Pekeliling Perkhidmatan ini dipanjangkan kepada semua Perkhidmatan Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan.

PEMBATALAN

28. Dengan berkuat kuasanya Pekeliling Perkhidmatan ini, pekeliling perkhidmatan, surat pekeliling perkhidmatan, garis panduan dan surat edaran berkaitan dengan kursus induksi seperti mana berikut adalah dibatalkan:
(a) Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 1992;
(b) Garis Panduan Penilaian Kursus Modul Induksi Umum – INTAN: 53/12/347 Jld.2(81) bertarikh 10 Oktober 1992;
(c) Surat edaran JPA.241/46 Jld.5(69) bertarikh 1 April 1993;
(d) Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 1997;
(e) Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 1998;
(f) Surat edaran JPA.241/46 Jld.11(10) bertarikh 2 Oktober 1998;
(g) Surat edaran JPA(S)241/46 Jld.11(63) bertarikh 10 April 2001;
(h) Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 2005; dan
(i) Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2012 di Perenggan 3 Jadual A(2) sahaja.