Thursday, March 14, 2013

PEKELILING PERKHIDMATAN BILANGAN 1 TAHUN 2013 - PEMERIKSAAN KESIHATAN BAGI MAKSUD PELANTIKAN KE DALAM PERKHIDMATAN AWAM


KERAJAAN MALAYSIA

__________________________________

PEKELILING PERKHIDMATAN BILANGAN 1 TAHUN 2013

__________________________________

PEMERIKSAAN KESIHATAN BAGI MAKSUD PELANTIKAN

KE DALAM PERKHIDMATAN AWAM

TUJUAN

1. Pekeliling Perkhidmatan ini bertujuan memberi panduan mengenai

pelaksanaan pemeriksaan kesihatan bagi maksud pelantikan ke dalam perkhidmatan

awam supaya pelaksanaannya lebih teratur.

LATAR BELAKANG

2. Peraturan mengenai pemeriksaan kesihatan kepada calon yang dilantik ke

dalam perkhidmatan awam dijelaskan dalam peraturan 20(1)(a), Peraturan-

Peraturan Pegawai Awam (Pelantikan, Kenaikan Pangkat dan Penamatan

Perkhidmatan) 2012. Berdasarkan peraturan tersebut, setiap calon yang akan

dilantik ke dalam perkhidmatan awam hendaklah disyaratkan untuk diperiksa dan

diperakui sihat untuk berkhidmat oleh pengamal perubatan berdaftar.


3. Pada masa ini, pelaksanaan urusan pemeriksaan kesihatan adalah

berdasarkan borang pemeriksaan perubatan yang dikeluarkan oleh Kementerian

Kesihatan Malaysia (Am 402-Pin.4/87) berdasarkan ketetapan dalam Ruangan 2,

Bilangan 1, Jadual B, Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2012–

Pelaksanaan Urusan Perkhidmatan Pegawai Perkhidmatan Awam

Persekutuan Di Bawah Sistem Saraan Malaysia.

4. Bagi memastikan pemeriksaan kesihatan calon yang dilantik dibuat dengan

teratur, terdapat keperluan untuk menjelaskan dasar dan tatacara pemeriksaan

kesihatan dengan menggunakan borang baharu pemeriksaan perubatan.

DEFINISI

5. Bagi tujuan Pekeliling Perkhidmatan ini:

“calon” bermaksud seseorang yang telah ditawarkan pelantikan secara tetap,

sementara atau kontrak oleh Suruhanjaya;

“Ketua Jabatan” bermaksud seseorang pegawai yang mengetuai sesuatu

Kementerian/ Jabatan Persekutuan di peringkat persekutuan, wilayah, negeri,

daerah atau di luar negara, atau mana-mana pegawai yang diwakilkan kuasa

secara bertulis oleh Ketua Jabatan untuk bertindak bagi pihaknya;

“pegawai” bermaksud pegawai sedang berkhidmat yang dilantik ke jawatan

baharu oleh Suruhanjaya;

“pengamal perubatan berdaftar” bermaksud pengamal perubatan yang

didaftarkan di bawah Akta Perubatan 1971 [Akta 50] sama ada pegawai

perubatan Kerajaan atau swasta;

“perkhidmatan awam” bermaksud perkhidmatan awam Persekutuan iaitu

perkhidmatan kehakiman dan perundangan, perkhidmatan awam am

persekutuan, pasukan polis dan perkhidmatan pelajaran menurut Fasal (1)

Perkara 132 Perlembagaan Persekutuan; dan

“Suruhanjaya” bermaksud Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Suruhanjaya

Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan, Suruhanjaya Pasukan Polis dan

Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran atau mana-mana pihak yang diwakilkan

kuasa secara sah untuk melantik seseorang berkhidmat dengan mana-mana

perkhidmatan di bawah bidang kuasa Suruhanjaya berkenaan.

DASAR PEMERIKSAAN KESIHATAN

6. Dasar pemeriksaan kesihatan adalah seperti berikut:

(a) calon yang akan dilantik ke dalam perkhidmatan awam hendaklah

menjalani pemeriksaan kesihatan dan diperakui sihat untuk

berkhidmat;

(b) pegawai yang telah menjalani pemeriksaan kesihatan semasa di

jawatan terdahulu perlu menjalani semula pemeriksaan kesihatan

sekiranya dikehendaki oleh Suruhanjaya apabila dilantik ke jawatan

baharu;

(c) bagi maksud subperenggan 6(a) dan 6(b), pemeriksaan kesihatan

hendaklah dilaksanakan oleh pengamal perubatan berdaftar;

(d) pemeriksaan kesihatan hendaklah dibuat selepas calon/ pegawai

menerima surat tawaran pelantikan dan laporan pemeriksaan

kesihatan perlu dikemukakan kepada Ketua Jabatan pada tarikh

melapor diri bertugas kecuali bagi skim perkhidmatan yang
mengehendaki calon/ pegawai menjalani pemeriksaan kesihatan

terlebih dahulu;

(e) sekiranya calon tidak dapat mengemukakan laporan pemeriksaan

kesihatan pada tarikh melapor diri bertugas yang diarahkan, Ketua

Jabatan tidak boleh menerima pegawai melapor diri bertugas.

Sebaliknya, calon perlu menjalani pemeriksaan kesihatan dan

mengemukakan laporan tersebut semasa melapor diri bertugas dalam

tempoh yang ditetapkan oleh Suruhanjaya;

(f) sekiranya Suruhanjaya mengehendaki pegawai sedang berkhidmat

menjalani semula pemeriksaan kesihatan apabila dilantik di jawatan

baharu dan laporan pemeriksaan kesihatan tidak dapat dikemukakan

pada tarikh melapor diri yang diarahkan, pegawai hendaklah

memohon penangguhan melapor diri kepada Ketua Jabatan baharu.

Sekiranya pegawai diperakui oleh pengamal perubatan berdaftar

mengalami masalah kesihatan, pegawai hendaklah merujuk kepada

Suruhanjaya yang menawarkan jawatan baharu itu untuk

mendapatkan nasihat mengenai pelantikannya;

(g) Suruhanjaya boleh membatalkan tawaran pelantikan jika calon/

pegawai diperakui mengalami masalah kesihatan oleh pengamal

perubatan berdaftar; dan

(h) kos pemeriksaan kesihatan adalah ditanggung sepenuhnya oleh calon/

pegawai melainkan pemeriksaan yang dibuat di hospital/ klinik

Kerajaan.

7. Walaupun seseorang pegawai sedang berkhidmat telah mematuhi syarat

di perenggan 6, Ketua Jabatan boleh mengarahkan pegawai untuk menjalani

semula pemeriksaan kesihatan atau mengemukakan maklumat kesihatan yang
telah disahkan oleh pengamal perubatan berdaftar apabila terdapat keperluan

untuk mengetahui status kesihatan pegawai supaya dapat dinasihati mengenai

perkhidmatannya.

PELAKSANAAN PEMERIKSAAN KESIHATAN

8. Pemeriksaan kesihatan bagi calon/ pegawai yang dilantik ke dalam

perkhidmatan awam adalah seperti berikut:

(a) calon/ pegawai hendaklah membuat pemeriksaan kesihatan sebaik

sahaja menerima tawaran pelantikan daripada Suruhanjaya dengan

menggunakan borang pemeriksaan perubatan seperti di Lampiran A;

(b) calon/ pegawai hendaklah mengemukakan laporan pemeriksaan

kesihatan semasa melapor diri bertugas. Ketua Jabatan tidak boleh

menerima calon/ pegawai melapor diri bertugas sekiranya calon/

pegawai gagal mengemukakan laporan tersebut semasa melapor diri

bertugas;

(c) Ketua Jabatan mengemukakan maklumat pelantikan dan laporan

pemeriksaan kesihatan serta memaklumkan kepada Suruhanjaya

sekiranya calon/ pegawai mengalami masalah kesihatan;

(d) Suruhanjaya meneliti laporan pemeriksaan kesihatan dan

memaklumkan keputusan pembatalan tawaran pelantikan kepada

calon/ pegawai melalui Ketua Jabatan sekiranya calon/ pegawai

mengalami masalah kesihatan dan tidak sesuai untuk berkhidmat; dan

(e) Ketua Jabatan membuat bayaran emolumen bagi apa-apa tempoh

calon/ pegawai berkhidmat.




Semua Setiausaha Suruhanjaya Perkhidmatan

Semua Ketua Setiausaha Kementerian

Semua Ketua Jabatan Persekutuan

Semua YB Setiausaha Kerajaan Negeri

Semua Pihak Berkuasa Berkanun

Semua Pihak Berkuasa Tempatan


Tarikh :

Sunday, February 3, 2013

PENGANUGERAHAN PINGAT PERKHIDMATAN CEMERLANG DAN PEMBERIAN ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG

PEKELILING PERKHIDMATAN BILANGAN 13 TAHUN 2012

Surat Arahan Ketua Pengarah MAMPU
Pemansuhan : PKPA Bil. 2 Tahun 2002 - Garis Panduan Pemberian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Anggota Perkhidmatan Awam

Pelaksanaan Program Transformasi Minda (PTM) sebagai satu daripada syarat pengesahan dalam perkhidmatan bagi menggantikan Kursus Induksi

PEKELILING PERKHIDMATAN BILANGAN 14 TAHUN 2012

LATAR BELAKANG

2. Modal insan yang berdaya tahan dan kompetitif adalah pra-syarat penting bagi menggerakkan agenda transformasi Kerajaan dengan berkesan untuk mencapai agenda pembangunan negara. Justeru, modal insan sektor awam perlu dibangunkan di peringkat awal pelantikan (dalam tempoh percubaan) secara optimum agar dapat melahirkan pegawai awam yang mempunyai sikap dan pemikiran progresif yang inginkan kecemerlangan serta memiliki etika dan nilai yang sejajar dengan budaya negara.

3. Cabaran utama membangunkan modal insan ialah menyediakan latihan yang mampu mentransformasikan minda pegawai awam untuk menjajarkan perlakuan mereka dengan matlamat sebenar perkhidmatan awam dan ekspektasi rakyat agar selari dengan hala tuju negara dan perubahan persekitaran. Perubahan minda yang ingin diterapkan sewajarnya menggalakkan pemikiran yang selari dengan aspirasi negara bagi menghasilkan nilai tambah dalam tugasan dan berkeupayaan menyediakan pegawai awam yang membudayakan nilai-nilai murni perkhidmatan awam.

4. Proses transformasi minda perlu bagi membangunkan modal insan secara holistik, merangkumi keupayaan sahsiah dan intelektual yang mesti dimiliki oleh pegawai awam bagi memandu pemikiran dan perlakuan dalam rutin harian. PTM diperkenalkan sebagai satu pendekatan untuk memberi pendedahan dan penyesuaian minda pegawai di peringkat awal pelantikan dalam perkhidmatan awam.

OBJEKTIF

5. Objektif PTM adalah untuk:
(a) memberi pendedahan kepada pegawai mengenai konsep kenegaraan, prinsip dan falsafah pembentukan negara, sistem pentadbiran kerajaan serta peraturan-peraturan asas perkhidmatan awam;
(b) memupuk keperibadian, jati diri dan nilai patriotisme pegawai supaya lebih berketerampilan dan berkemampuan menyesuaikan diri dalam perkhidmatan awam;
(c) menerapkan nilai budaya kerja cemerlang agar pegawai dapat memberikan penyampaian perkhidmatan dengan cekap serta berkesan; dan
(d) menyediakan pegawai dengan minda kelas pertama selaras dengan matlamat ke arah negara maju.

PEGAWAI YANG DISYARATKAN

6. Pegawai yang disyaratkan mengikuti PTM adalah:
(a) pegawai lantikan pertama pada atau selepas 1 Januari 2013 yang berkhidmat secara tetap dalam Perkhidmatan Awam; dan
(b) pegawai dalam tempoh percubaan dan belum menghadiri Kursus Induksi - Modul Umum.

PENGECUALIAN MENGHADIRI PTM

7. Pegawai yang sedang berkhidmat yang kemudiannya dilantik ke skim perkhidmatan atau perkhidmatan lain dikecualikan daripada menghadiri PTM dengan syarat:
(a) hadir dengan jaya PTM; atau
(b) hadir dengan jaya Kursus Induksi - Modul Umum; atau
(c) lulus Peperiksaan Am Kerajaan di skim perkhidmatan terdahulu.

8. Pengecualian ini boleh diberikan oleh Pengurus Sumber Manusia Kementerian/Jabatan/Agensi tanpa perlu merujuk kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Pengecualian tersebut hendaklah direkodkan dalam Rekod Perkhidmatan pegawai sebagai “Pegawai Dikecualikan Daripada PTM kerana telah Hadir Dengan Jaya PTM/Hadir Dengan Jaya Kursus Induksi-Modul Umum/lulus Peperiksaan Am Kerajaan” bagi memastikan urusan pengesahan dalam perkhidmatan barunya dibuat dengan teratur.

PELAKSANAAN PTM

9. Kerangka Kurikulum PTM ini terbahagi kepada tiga (3) segmen utama, iaitu:
(a) Segmen I : Negara dan Perkhidmatan Awam;
(b) Segmen II : Tanggungjawab dan Peranan Pegawai; dan
(c) Segmen III : Budaya Kerja Kelas Pertama.

Ringkasan kandungan kurikulum yang boleh diguna pakai adalah seperti di Lampiran A.

10. Pelaksanaan PTM adalah selama lima (5) hari dan dilaksanakan oleh Kementerian/Jabatan/Agensi. Contoh jadual pelaksanaan adalah seperti di Lampiran B. Pelaksanaan PTM ini boleh dibuat tanpa mengira kumpulan perkhidmatan/gred jawatan atau dibuat secara berasingan mengikut kesesuaian Kementerian/Jabatan/Agensi.

11. Skim perkhidmatan yang mensyaratkan Kursus Asas atau Pra-Perkhidmatan kepada pegawai lantikan baru boleh mengintegrasikan kurikulum PTM dalam Kursus Asas atau Pra-Perkhidmatan tersebut.

12. Kementerian/Jabatan/Agensi yang tidak mempunyai keupayaan untuk melaksanakan PTM atas sebab-sebab tertentu boleh menumpangkan pegawainya untuk menghadiri PTM di Kementerian/Jabatan/Agensi lain tertakluk kepada syarat-syarat berikut:
(a) urusan penumpangan dipersetujui oleh kedua-dua pihak yang menumpang dan menerima pegawai sebagai pegawai tumpangan;
(b) Sijil PTM yang dikeluarkan oleh Kementerian/Jabatan/Agensi yang melaksanakan program tersebut hendaklah diterima pakai bagi tujuan pengesahan dalam perkhidmatan; dan
(c) sekiranya Kementerian/Jabatan/Agensi yang menerima pegawai sebagai pegawai tumpangan mengenakan bayaran pengurusan, kadar yang dikenakan hendaklah munasabah dan dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

13. PTM dilaksanakan melalui pelbagai kaedah seperti latihan dalam kumpulan (LDK), sesi interaktif, perbincangan kumpulan, perbincangan kes, kuiz, e-Pembelajaran, ujian psikometrik atau kaedah lain yang bersesuaian yang dipersetujui oleh Panel Pengurusan PTM di Kementerian/Jabatan/Agensi masing-masing.

14. Penilaian PTM dibuat secara penilaian sepanjang program berdasarkan kepada aktiviti dan kriteria penilaian yang ditetapkan. Garis panduan penilaian PTM adalah seperti di Lampiran C.

15. Pegawai yang mengikuti PTM sepenuhnya dan berjaya berasaskan penilaian yang dibuat layak diberikan sijil PTM. Keputusan “Hadir Dengan Jaya PTM” hendaklah direkodkan dalam Rekod Perkhidmatan pegawai yang berkenaan. Contoh Sijil PTM adalah seperti di Lampiran D.

16. Memandangkan kurikulum PTM tidak merangkumi skop fungsi Kementerian/Jabatan/Agensi, Ketua Jabatan di mana pegawai ditempatkan adalah digalakkan untuk mengadakan sesi penerangan berasingan mengenai Kementerian/Jabatan/Agensi kepada pegawai berkenaan.

PANEL PENGURUSAN PTM

17. Semua Kementerian/Jabatan/Agensi yang melaksanakan PTM hendaklah menubuhkan Panel Pengurusan PTM di peringkat Kementerian/Jabatan/Agensi masing-masing.

18. Keanggotaan Panel Pengurusan PTM adalah seperti berikut:

Pengerusi
-
Pengurus Sumber Manusia/Pengurus yang bertanggungjawab mengendalikan latihan jabatan atau wakilnya
Ahli
-
Wakil-wakil yang berkaitan dan bersesuaian
Urus setia
-
Bahagian/Unit yang bertanggungjawab terhadap pengurusan sumber manusia atau latihan jabatan
Kuorum Panel Pengurusan PTM hendaklah sekurang-kurangnya tiga (3) orang termasuk Pengerusi.

19. Tanggungjawab Panel Pengurusan PTM adalah seperti berikut:
(a) menetapkan kaedah pelaksanaan program yang bersesuaian;
(b) menimbang dan mengesahkan laporan kehadiran dan laporan penilaian sepanjang program bagi setiap pegawai yang menghadiri PTM;
(c) menimbangkan kebenaran mengulang bagi pegawai yang tidak melengkapkan PTM tertakluk kepada tempoh percubaan pegawai;
(d) mengeluarkan dan memperakukan sijil kehadiran kepada pegawai yang telah hadir dengan jaya PTM; dan
(e) menimbangkan isu-isu berkaitan pelaksanaan PTM.

PEGAWAI YANG TIDAK MELENGKAPKAN PTM

20. Panel Pengurusan PTM boleh membenarkan pegawai mengulang semula mana-mana segmen sekiranya pegawai tersebut tidak melengkapkan PTM atas sebab-sebab berikut:
(a) disahkan tidak sihat oleh Pengamal Perubatan Berdaftar;
(b) terpaksa meninggalkan program untuk menjaga keluarga terdekatnya yang sakit;
(c) terpaksa meninggalkan program untuk menjadi saksi atau terlibat dalam perbicaraan kes di mahkamah;
(d) melahirkan anak dalam tempoh program;
(e) keluarga terdekat meninggal dunia; atau
(f) keadaan kecemasan lain yang difikirkan munasabah dan dibenarkan oleh Ketua Urus Setia yang melaksanakan PTM.

21. Pegawai yang tidak melengkapkan PTM hendaklah mengulang semula segmen yang belum dilengkapkan. Pegawai hendaklah mengemukakan permohonan kepada urus setia bagi tujuan mengulang semula segmen berkenaan.

PEGAWAI YANG GAGAL PTM

22. Pegawai yang gagal PTM disebabkan masalah disiplin dan komitmen tidak dibenarkan mengulang semula PTM dan boleh ditamatkan perkhidmatannya.

KAWALAN PIAWAIAN

23. JPA akan memantau dan mengadakan naziran dari semasa ke semasa bagi memastikan pelaksanaan PTM selaras dengan dasar yang berkuat kuasa.

PINDAAN KEPERLUAN KURSUS INDUKSI DALAM PERBEKALAN SKIM PERKHIDMATAN
24. Mulai 1 Januari 2013, semua perbekalan dalam skim perkhidmatan mengenai keperluan hadir dengan jaya Kursus Induksi sebagai syarat pengesahan dalam perkhidmatan adalah dipinda dan digantikan dengan PTM.

KEKECUALIAN

25. Semua Kementerian/Jabatan/Agensi hendaklah mematuhi pelaksanaan PTM yang ditetapkan. Sebarang pengubahsuaian dari segi tempoh, kurikulum dan penilaian PTM selain daripada yang ditetapkan hendaklah mendapat kelulusan daripada JPA.

TARIKH KUAT KUASA

26. Pekeliling Perkhidmatan ini berkuat kuasa mulai 1 Januari 2013.

PEMAKAIAN

27. Tertakluk kepada penerimaan oleh pihak berkuasa masing-masing, peruntukan Pekeliling Perkhidmatan ini dipanjangkan kepada semua Perkhidmatan Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan.

PEMBATALAN

28. Dengan berkuat kuasanya Pekeliling Perkhidmatan ini, pekeliling perkhidmatan, surat pekeliling perkhidmatan, garis panduan dan surat edaran berkaitan dengan kursus induksi seperti mana berikut adalah dibatalkan:
(a) Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 1992;
(b) Garis Panduan Penilaian Kursus Modul Induksi Umum – INTAN: 53/12/347 Jld.2(81) bertarikh 10 Oktober 1992;
(c) Surat edaran JPA.241/46 Jld.5(69) bertarikh 1 April 1993;
(d) Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 1997;
(e) Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 1998;
(f) Surat edaran JPA.241/46 Jld.11(10) bertarikh 2 Oktober 1998;
(g) Surat edaran JPA(S)241/46 Jld.11(63) bertarikh 10 April 2001;
(h) Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 2005; dan
(i) Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2012 di Perenggan 3 Jadual A(2) sahaja.

Tuesday, January 29, 2013

Bidang Keberhasilan Utama Negara atau NKRA (NATIONAL KEY RESULT AREAS)

Pada 27 Julai 2009, Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Najib Tun Razak telah mengumumkan Indeks Prestasi Utama (KPI) enam teras Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) sebagai usaha untuk menyediakan dan meningkatkan tahap kesejahteraan kepada rakyat.

Bagi menghadapi segala cabaran yang menghalang daripada mencapai Wawasan 2020, kerajaan memberikan sepenuh komitmen kepada Program Transformasi Kerajaan (GTP) selaras dengan prinsip 1Malaysia, Rakyat Didahlukan, Pencapaian Diutamakan.

Pelan hala tuju ini memperincikan objektif, keberhasilan dan set tindakan permulaan - dalam bidang yang dikenalpasti sebagai Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Bidang Keberhasilan Utama Kementerian (MKRA) - dengan fokus yang khusus pada tahun 2010.

NKRA telah didefinisikan sebagai bidang utama negara. Ia mewakili gabungan keutamaan jangka masa pendek untuk menangani tuntutan terdesak rakyat dan tidak kurang pentingnya isu jangka masa panjang yang memberi kesan kepada rakyat yang memerlukan perhatian yang khusus.

Enam teras Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) ialah usaha untuk menyediakan dan meningkatkan tahap kesejahteraan kepada rakyat. Bidang-bidang tersebut adalah berkaitan jenayah, rasuah, pendidikan, meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah, memperkasa prasarana luar bandar dan pendalaman serta menambah baik pengangkutan awam.

Bagi setiap NKRA, seorang menteri peneraju dilantik bagi menerajui NKRA yang ditetapkan. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Y.B. Senator Dato’ Sri Shahrizat Abdul Jalil dilantik sebagai menteri peneraju ke-4 yang bertanggungjawab untuk meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah atau “Low Income Households” (LIH).


Enam bidang tumpuan NKRA ialah :
  1. Mengurangkan jenayah - Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Menteri Dalam Negeri)
  2. Memerangi rasuah - Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz (Menteri di Jabatan Perdana Menteri)
  3. Meluaskan akses kepada pendidikan bermutu dan termampu - Tan Sri Muhyiddin Yassin (Timbalan Perdana Menteri, Menteri Pelajaran)
  4. Meningkatkan taraf hidup isi rumah berpendapatan rendah - Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat)
  5. Memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman - Datuk Seri Shafie Apdal (Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah)
  6. Menambah baik pengangkutan awam bandar - Datuk Seri Ong Tee Keat (Menteri Pengangkutan)    

Terdapat empat sasaran utama atau sub-NKRA iaitu:
  1. Membasmi kemiskinan tegar 44,643 is rumah miskin tegar di bawah sistem eKasih menjelang 31 Disember 2010;
  2. Mengurangkan kadar kemiskinan daripada 3.6% kepada 2.8% menjelang Disember 2010;
  3. Melatih dan membangunkan 2,000 usahawan wanita menjelang 31 Disember 2010; dan
  4. Meningkatkan kadar pemilikan atau penyewaan rumah ke 50% dikalangan rakyat berpendapatan RM2,500 sebulan ke bawah menjelang Disember 2010.
Perincian 6 Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) boleh didapatai di link berikut :
http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/component/content/article/466-pengenalan-nkra/4808-pointers-6-bidang-keberhasilan-utama-negara-nkra.html

Monday, January 28, 2013

Persediaan Asas untuk Temuduga Jawatan F

Soalan-soalan asas berkaitan IT boleh didapati di sini :

http://www.indiabix.com/computer-science/questions-and-answers/